Rabu, 18 Juni 2008

Kisah Tauladan Rasullullah

ALLAH S.W.T. MENOLAK 1 DOA DARI 3 DOA RASULULLAH S.A.W

'Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa :
"Satu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah
berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid
Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan
menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat
bersama dengan Rasulullah S.A.W.

Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak
panjang kepada Allah S.W.T :

Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W
pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :
"Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara,
dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua
perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya ia tidak
membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.
Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah S.W.T.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku
ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam
(seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a).
Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak
dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan,
pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah
tidak diperkenankan (telah ditolak).

Apa yang kita lihat hari ini ialah negara-negara Islam sendiri
bergaduh antara satu sama lain, hari ini orang Islam bergaduh
sesama sendiri, orang kafir menepuk tangan dari belakang, apakah
ini cantik kita melihatnya ?

Rasulullah SAW - Pemimpin Yang Merendahkan Diri

Pada suatu hari Rasulullah bersama sahabat-sahabat melakukan
perjalanan yang jauh. Mereka singgah mendirikan khemah di
padang pasir. Seorang sahabat membawa seekor kambing dan
berkata dia akan menyembelihnya.Yang lain pula berkata
akan melapahnya. Sahabat yang lain berkata akan memasaknya.
Lalu Rasulullah berkata, "Dan aku akan mencari kayu api."

Para sahabat terperanjat mendengarnya dan segera berkata,
"Tidak usah ya Rasulullah, biar kami sahaja melakukan semuanya."

Rasulullah bersabda, "Demi Allah aku tidak akan tinggal
diam sementara kamu semua bekerja. Allah membenci hambanya
yang mengistimewakan dirinya dari saudara-saudaranya.
" Setelah itu Rasulullah pergi mencari kayu api.

Teladan: Dalam Islam tidak ada keistimewaan yang membezakan
manusia. Pemimpin dan orang yang dipimpin adalah sama sahaja
kecuali pada arahan dan kuasanya. Pemimpin tidak sepatutnya
menggunakan kedudukannya sebagai pemimpin untuk membina keistimewaan
diri, apalagi membina kekayaan menerusi kesempatan yang ada.

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W

Khutbah ini disampaikan pada 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah
di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan,
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan
kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti
kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang
tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota
ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang
Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan
kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti
sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah
bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti
membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba
dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia
sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka
juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan
dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan
pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu
tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini,
sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari,
berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari
harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya
kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan
beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan.
Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada
lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan
lahir agama baru.

Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya
aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu
berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak
akan tersesat selama-lamanya. Itulah AI-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan
pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami
kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah
Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu...

0 Komentar:

Posting Komentar

Berlangganan Posting Komentar [Atom]

<< Beranda